Friday, October 30, 2009

Sempena Lambaian Ka'abah

LAPANG benar dada Pak Uwei bila pegawai yang bertugas di kaunter pejabat Tabung Haji itu memberitahu nama dia dan isterinya turut tersenarai dalam senarai jemaah yang akan menunaikan fardhu haji pada tahun ini. "Tapi pakcik kena bayar segera bahagian mak cik yang masih tak cukup tiga ribu lagi tu. Selewat-lewatnya minggu depan bayaran mesti dibuat," beritahu pegawai itu lagi. "Insya Allah encik. Saya akan bayar seberapa segera," janji Pak Uwei. Berita gembira itu ingin segera dikongsi bersama isteri kesayangannya. Sebaik keluar dari pejabat Tabung Haji dia terus balik ke rumah. "Pah...oo..Pah!" teriak Pak Uwei sebaik turun dari keretanya. 'Apa bendanya terlolong-lolong ni bang?" tanya Mak Pah. "Ada berita baik ni Pah, nampaknya hajat kita nak ke Mekah tahun ini akan tertunai. Insya Allah dua bulan lagi kita akan ke sana. Tak sabar betul saya, rasa macam Kaabah tu dah melambai-lambai," cerita Pak Uwei dengan wajah berseri-seri. "Betul ke ni bang? Baru semalam si Johari beritahu dia dengan Minah tak dapat pergi. Namanya tidak ada dalam senarai." "Betullah Pah oii...saya ni baru je balik dari pejabat Tabung Haji. Cuma duit bahagian awak tu kena bayar segera selewat-lewatnya minggu depan."
"Mana kita nak cari duit banyak tu bang? Tiga ribu tu bukan sikit, itu pun lepas duit tambang. Duit kocek mau juga sekurang-kurangnya dalam seribu." Mak Pah merenung gusar wajah suaminya. "Alah Pah, kita mintalah tolong dengan Muaz dan Balkis. Takkanlah mereka tak nak beri. Bukannya banyak, cuma dua ribu seorang saja." Wajah Pak Uwei semakin berseri-seri. Dia yakin anak- anaknya yang dua orang itu tidak akan menghampakan harapannya. "Lusa hari minggu, saya nak suruh budak-budak tu balik boleh kita berunding," cadang Pak Uwei. "Kalau tak cukup bahagian saya tu, awak ajelah yang pergi dulu. Tak elok kita menyusahkan anak-anak bang, lagipun apa pula kata menantu kita nanti nak ke Mekah minta duit anak-anak." Mak Pah tidak bersetuju dengan rancangan Pak Uwei. "Pah... Muaz dan Balkis tu kan anak-anak kita. Kita dah besarkan mereka, hantar belajar tinggi-tinggi takkan nak hulur dua ribu pun tak boleh lagipun selama ni kita tak pernah minta duit mereka. Tak usahlah awak bimbang Pah, saya yakin anak-anak kita tu tak akan menghampakan kita kali ni." Yakin benar Pak Uwei, harapan yang menggunung digantungkan kepada anaknya. "Tapi bang..." "Dahlah...pegi siapkan kerja awak tu, tak usah nak risau tak tentu hala. Saya nak telefon budak-budak tu," pintas Pak Uwei sebelum Mak Pah melahirkan kebimbangannya. Lega hati Pak Uwei bila Muaz menyatakan yang dia akan pulang kemudian Pak Uwei menelefon Balkis pula di pejabatnya. Dia hanya menyuruh mereka balik tanpa memberitahu hajatnya. "Insya Allah Kis balik nanti abah. Emm...abah nak Kis suruh Intan balik sama?" tanya Balkis."Ikut suka kaulah, bagi abah yang pentingnya kau dan Muaz. Intan tu ada ke tidak ke, sama aje. Balik ya...," balas Pak Uwei. Bukan dia membeza-bezakan anak-anaknya tapi hati tuanya cepat benar panas bila berhadapan dengan Intan. Sikap degil dan tak mahu mendengar kata anaknya itu menyebabkan dia geram. Sudahlah malas belajar tidak seperti Muaz dan Balkis yang berjaya memiliki ijazah. Kalau ditegur sepatah, sepuluh patah tidak menjawab. Masih Pak Uwei ingat gara-gara sikap keras kepala Intan untuk bekerja kilang mereka bertengkar besar tiga tahun lalu. Kini hubungan mereka seperti orang asing. "Abah tak setuju kau nak kerja kilang kat KL tu. Abah mahu kau sambung belajar lagi." Pak Uwei tidak bersetuju dengan niat Intan yang hendak bekerja kilang. "Intan dah tak minat nak belajar lagi abah, biarlah Intan kerja kilang. Kerja kilang pun bukannya haram." bantah Intan menaikkan darah Pak Uwei. "Aku suruh kau belajar kau tak nak, kau nak kerja kilang. Kau tak tengok berapa ramai anak gadis yang rosak akhlak kerja kilang duk kat KL jauh dari mak bapak, bolehlah buat apa yang kau sukakan. Kau nak bebas macam tu?". "Itulah abah, selalu nampak yang buruk aje. Bukan semua yang kerja kilang duk kat KL tu jahat abah. Kerja apa dan kat mana pun sama aje, pokok pangkalnya hati. Kalau nak buat jahat dalam rumah pun boleh abah." Intan cuba membuat abahnya faham. "Kenapalah kau seorang ni lain benar dari abang dan kakak kau. Cuba kau tengok Balkis tu tak pernah dia membantah cakap macam kau ni!"."Intan memang tak sama dengan Kak Balkis abah, Intan suka berterus terang kalau tak kena Intan cakap depan-depan bukan membebel kat belakang," balas Intan selamba menyemarakkan bara dalam dada abahnya. "Anak tak mendengar kata, ikut suka kaulah. Kalau kau nak pergi, pergi........aku dah tak larat nak larang. Nak terlentang ke, telangkup ke, gasak kaulah.

Kau buat apa yang kau suka, aku tak nak ambil tahu lagi!" Sejak kejadian itu Pak Uwei memang tidak memperdulikan langsung apa yang Intan nak buat.Namun begitu Intan tetap pulang setiap kali cuti, dia bersikap selamba biarpun abahnya tidak memperdulikannya. Intan selalu menghulur duit tapi hanya kepada maknya sahaja. RIANG hati Pak Uwei bukan kepalang bila anak-anaknya pulang, tambahan pula dia sudah rindu dengan cucu-cucunya. Malam itu selesai menikmati makan malam dan berjemaah sembahyang Isya' mereka duduk berborak di ruang tamu. "Sebenarnya ayah suruh kau orang balik ni ada hajat sikit," Pak Uwei memulakan bicara. "Hajat apa pula abah?" tanya Muaz yang duduk di sebelahnya. "Abah dan mak kau nak ke Mekah, nama dah ada dalam senarai. Memandangkan bahagian mak kau masih belum cukup lagi abah nak minta kau dan Balkis bantu sikit. Tak banyak, dua ribu seorang cukuplah," Pak Uwei mengutarakan hasratnya. "Boleh tu boleh abah, tapi kena tunggu sebulan dua lagi. Az baru aje keluarkan wang simpanan buat duit muka beli rumah. Sebulan dua lagi bolehlah Az ikhtiarkan," ujar Muaz. "Tapi...pegawai Tabung Haji tu minta bayaran dibuat segera selewat-lewatnya minggu depan." "Kalau dalam seminggu dua ni abah, memang rasanya tak dapat. Paling tidak pun cukup bulan ni. Nak cukupkan duit muka tu pun habis duit simpanan budak-budak ni Az keluarkan," jawab Muaz serba salah. "Kau beli rumah lagi, rumah yang ada tu kau nak buat apa?" tanya Pak Uwei melindungi kekecewaannya. "Rumah baru tu besar sikit abah. Selesalah buat kami sebab budak-budak tu pun dah besar masing-masing nak bilik sendiri. Lagipun beli rumah tak rugi abah, pelaburan masa depan juga," sampuk Mira isteri Muaz. Pak Uwei terdiam, harapannya kini cuma pada Balkis."Kamu macam mana Kis, boleh tolong abah? Nanti abah bayarlah balik duit kamu tu bila ada rezeki berbuah durian kat dusun kita tu nanti," Pak Uwei berpaling pada Balkis. "Kis pun rasanya tak dapat nak tolong abah. Kis baru aje keluarkan duit simpanan buat menambah modal perniagaan abang Man. Tengah gawat ni faham ajelah... ni tak lama lagi nak bersalin nak pakai duit lagi." Hancur berderai rasa hati Pak Uwei mendengar jawapan Balkis. "Man bukan tak nak tolong abah. Kalau nak pinjam duit kad kredit boleh. Tapi yelah kata orang kalau nak ke Mekah ni tak elok pakai duit pinjaman." "Betul kata Man tu abah. Kalau nak ke Mekah mesti dengan kemampuan sendiri baru elok," sokong Muaz. Kata-kata Azman dan Muaz bagaikan sembilu yang menikam dada Pak Uwei. Bila dia bertemu pandang dengan Intan, Pak Uwei terasa bagai ditertawakan oleh Intan bila kedua anak yang diharap-harapkan menghampakannya. "Tak apalah kalau kau orang tak ada duit. Biarlah abah kau pergi seorang dulu, nanti kalau ada rezeki mak pula pergi," Mak Pah bersuara cuba meredakan keadaan. "Kalau nak pergi sendiri dah lama saya pergi Pah. Tak payah saya tunggu lama-lama. Kalau awak tak pergi biarlah kita sama-sama tak pergi...dah tak ada rezeki kita nak buat macam mana?"
Pak Uwei bangun masuk ke bilik meninggalkan anak-anaknya dengan rasa kesal. Intan tahu abahnya benar-benar kecewa. Walaupun orang tua itu tidak menunjukkan rasa kecewanya tapi Intan faham kecewa abahnya teramat sangat kerana tidak menduga anak-anak yang selama ini disanjung akan mengecewakannya begitu. "Anak awak tu tak balik ke?" tanya Pak Uwei pada Mak Pah bila Intan tidak turut serta balik bersama abang dan kakaknya. Tak, katanya cuti sampai hari Rabu nanti," balas Mak Pah sambil mencapai kain selendangnya. "Nak ke mana pulak tu?" tanya Pak Uwei melihat Mak Pah bersiap-siap. "Nak ke kedai Long Semah tu nak belikan anak saya kuih lepat ubi kegemarannya." Sengaja Mak Pah menekan suara bila menyebut anaknya. Bukan sekali dua dia menegur sikap Pak Uwei yang gemar membeza-bezakan anak.

PAGI Isnin tu selepas bersarapan Intan bersiap-siap hendak keluar. "Nak ke mana Intan pagi-pagi lagi dah bersiap ni?" "Intan ada hal sikit kat bandar mak. Intan pergi dulu ye." "Kalau nak ke bandar suruhlah abah kau tu hantarkan," suruh Mak Pah. "Tak payah mak, Intan nak pergi banyak tempat ni. Nanti bising pula abah tu. Intan pergi dulu." Mak Pah menggeleng memerhatikan Intan berlalu. Kadangkala sedih hatinya melihat sikap suaminya yang keras hati membuat anaknya itu menyisihkan diri. Ketika Intan pulang dari bandar tengah hari itu mak dan abahnya sedang menikmati juadah tengah hari. "Kau ni Tan buat benda apa lama benar kat bandar tu? Mari makan sama. Ni abah kau ada beli ikan baung salai, mak masak lemak cili api." "Ingat lagi abah lauk kegemaran Intan rupanya," usik Intan tak bertangguh mencapai pinggan. "Mak bapak memang tak pernah lupakan anak-anak, cuma anak-anak aje yang lupakan mak bapak," jawab Pak Uwei sinis. Intan tersenyum pahit. Selesai mengemas pinggan mangkuk Intan menunaikan solat Zohor dan kemudian dia mendapatkan mak dan abahnya yang sedang duduk di ruang tamu. Abahnya sedang membaca suratkhabar. Mak Pah pula melipat kain. "Mak, abah... Intan ada hal sikit nak cakap ni...," ujar Intan menghampiri mereka. Pak Uwei menurunkan suratkhabar yang dipegangnya kemudian menanggalkan cermin mata yang digunakan untuk membaca. "Apa hal... kamu nak kahwin ke?" soal pak Uwei merenung Intan. Tawa Intan meledak tiba-tiba mendengar soalan abahnya. Melihat Intan tergelak besar Pak Uwei turut tertawa. Mak Pah pun tergelak sama, riang rasa hatinya melihat kemesraan yang hilang dulu mula menyatu. "Abah ni... ke situ pulak...." "Habis tu?" "Ini... kad Tabung Haji mak. Tadi Intan ambik buku nie dalam laci tu. Yang ni resit memasukkan duit ke akaun mak. Semuanya Intan dah uruskan. Dan ini dua ribu untuk buat duit kocek mak dan abah. Yang dua ratus lagi ni untuk buat kenduri doa selamat sebelum berangkat nanti". Lantas Intan memasukkan duit itu dalam genggaman Pak Uwei. "Apa??" Pak Uwei terkejut matanya merenung Intan dan duit di tangannya bagai tidak percaya. "Ini duit simpanan Intan sejak mula bekerja dulu. Duit hasil titik peluh Intan yang halal abah, terimalah. Selama ini Intan banyak kali kecewakan abah. Intan tak pernah dapat membahagiakan hati abah.
Selama ini pun Intan selalu sangat rasa kalah pada abang Az dan Kak Balkis. Intan tak cantik dan baik macam Kak Balkis, apatah lagi bijak seperti mereka. Intan tahu abah selalu kecewa dengan Intan. Hanya kali ini Intan dapat tunaikan hasrat abah.Dah banyak kali abah tangguhkan hasrat nak naik haji. Dulu kerana Kak Balkis nak kahwin, lepas tu mak pula tak sihat. Sekarang ni masa yang sesuai. Intan harap abah sudi terima pemberian Intan," tutur Intan perlahan memerhatikan airmata menuruni pipi abahnya yang sudah berkedut dimamah usia. "Terima kasih Intan. Malu rasanya abah nak ambil duit kamu... dulu abah selalu bangga dengan Balkis dan Muaz yang memegang jawatan tinggi tapi akhirnya anak abah yang kerja kilang yang membantu abah," luah Pak Uwei sambil mengesat airmata terharu atas keluhuran hati anak yang selama ini dimusuhinya. "Sudahlah abah. Yang lepas itu tak usahlah kita ungkit-ungkit lagi. Intan gembira abah sudi terima pemberian Intan." "Pemberian kau ni terlalu terlerai bagi abah dan mak kau Intan...," ujar Pak Uwei. Intan peluk abahnya erat. "Hah... tulah, jangan suka memperkecil-kecilkan anak saya ni," Mak Pah mengusik Pak Uwei sambil mengesat airmata penuh kesyukuran.
"Mak ni...," gelak Intan memandang abahnya yang tersengih. MASA yang ditunggu-tunggu tiba dalam keriuhan sanak saudara yang datang menziarahi Pak Uwei dan Mak Pah. Intan memerhati dengan perasaan gembira bercampur hiba. "Semua dah siap ke mak?" tanya Intan menjenguk ke bilik emaknya memerhatikan Mak Pah mengisi barang keperluan semasa di Mekah. "Dah rasanya... ada apa-apa yang Intan nak pesan mak belikan di sana nanti?" "Tak ada mak. Mak janganlah fikir soal apa yang nak dibeli mak. Ya penting mak dapat menunaikan ibadah dengan sempurna." Hah, awak dengar tu...kita ni nak pergi menunaikan ibadah bukan nak membeli-belah," tambah Pak Uwei yang turut mendengar perbualan dua-beranak itu. "Intan tak nak mak dan abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Intan mahu, doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat," pesan Intan sambil memeluk emaknya. Mak Pah dan Pak Uwei berpandangan. Tiba-tiba sebak dengan permintaan Intan itu.
HANYA dua jam lagi kapal terbang akan mendarat di tanah air. Pak Uwei mengerling Mak Pah yang lena di sebelahnya. Dalam keriangan telah menunaikan ibadah haji tanpa sebarang kesulitan terselit rasa tidak sedap di hati. Perasaan rindu pada anak-anak terutama Intan bagai menyentap tangkai hatinya. Pak Uwei terkenangkan mimpinya bertemu Intan di tanah suci. Intan tidak berkata sepatah pun tapi bagai memberitahu yang dia akan pergi jauh. Kenapa resah aje ni bang?" Mak Pah terjaga. "Entahlah Pah, saya teringat sangat dengan Intan dan anak-anak kita." "Sabarlah dah nak sampai dah ni," pujuk Mak Pah. Dari jauh lagi Pak Uwei sudah melihat Muaz dan Azman menanti mereka. "Mak... abah...," Muaz meraih emaknya dalam pelukan dan kemudian abahnya tanpa dapat menahan airmata menitis laju....Mana yang lain ni, kamu berdua aje?" Pak Uwei tertinjau-tinjau mencari wajah Intan. "Mereka menanti di rumah, abah," beritahu Azman suami Balkis sambil mencium tangan Pak Uwei. "Intan pun tak datang juga ke?" tanya Pak Uwei terasa hampa. "Awak ni... kan Man dah kata mereka menunggu di rumah." Mak Pah menggeleng, dua tiga hari ini nama Intan tak terlepas dari mulut suaminya. Perjalanan tiga jam dari KLIA untuk sampai ke rumah terasa begitu lama oleh Pak Uwei. Mak Pah yang melihat kegelisahan suaminya turut berasa bagai ada yang tak kena. "Dua tiga malam sebelum balik, abah kau mengigau terjerit-jerit dia panggil nama Intan. Kalau Intan dengar cerita ni tentu dia gelihati." cerita Mak Pah pada Muaz dan Azman. Muaz mengerling Azman yang sedang memandu. Tentulah abah ingatkan Intan, sebab Intan yang bagi dia duit," balas Muaz cuba bergurau walaupun terasa sayu. "Tapi abah rasa macam ada yang tak kena je Az, dalam mimpi abah tu abah nampak Intan macam nak beritahu dia nak pergi jauh.
Tapi dia tak bercakap pun hanya renung abah. Intan tak ada cakap apa-apa dengan kau Az?" "Err... tak ada abah. Kita berhenti minum dulu abah, tentu mak haus," ajak Azman. "Tak payah, dah dekat ni. Abah tak sabar nak balik," tolak Pak Uwei. Azman dan Muaz hanya berpandangan.

SEBAIK turun dari kereta, Balkis meluru memeluk mereka dengan tangisan. Suara Pak Long Basri yang bertakbir menambah sayu. Semua yang ada menitiskan air mata. "Mak dengan abah sihat ke?" tanya Mira setelah bersalaman dengan ibubapa mentuanya. "Sihat, cuma batuk-batuk aje sikit. Intan mana, dia tak balik ke?" Mak Pah mula berdebar bila Intan tidak kelihatan. "Naik dulu Ngahnya...," suruh Long Semah. Intan mana?" Pak Uwei mula hilang sabar bila tak seorang pun memberitahu di mana Intan. Pantas dia memanjat tangga menuju bilik Intan. Matanya terpaku pada bekas baru yang terletak di sebelah katil yang bercadar kain batik lepas. Dadanya bergetar."Az... mana Intan? Mana adik kau Az?" tanya Pak Uwei dengan suara yang menggeletar. Badannya terasa lemah, dia berpaut pada tepi pintu. "Sabar abah...," Muaz menggosok belakang abahnya. "Kenapa Az...kenapa?" Mak Pah menurunkan Syazwan cucunya dari pangkuan dan melangkah laju ke bilik Intan. Mak... Intan dah tak ada mak," Balkis tersedu memeluk emaknya yang terduduk lemah. Pak Uwei terkulai tak bermaya menerima berita itu.Mak Pah terus pengsan. Bila dia terjaga dia melihat anak menantu mengelilingnya. Pak Uwei duduk di tepi kepalanya. "Sabarlah Ngah, ini dugaan Allah pada kita. Intan pergi pun dalam keadaan tenang. Barangkali kerana hajatnya nak lihat kamu naik haji dah tertunai," pujuk Long Semah yang masih belum pulang. Intan ada tinggalkan surat untuk kita. Dia memang dah tahu dia tak akan hidup lama. Rupa-rupanya dia menghidap barah otak. Dia minta maaf segala salah silap dan berpesan supaya kita jangan sedih atas pemergiannya. Dia minta kita doakan dia," Pak Uwei menepuk lembut bahu Mak Pah yang tersedu. Bila dia meninggal? Siapa yang mengadap masa nazaknya?" tanya Mak Pah. "Kami semua ada mak. Dia begitu tabah menanti detik kematiannya mak. Sebenarnya dia ajak kami balik ini, katanya nak kemaskan rumah. Mak dan abah nak balik. Masa sampai tu dia sihat lagi tiba-tiba malam Khamis tu lepas solat Isya' dia sakit kepala teruk sampai tak boleh bangun. Az nak hantar ke hospital tapi katanya masa dia dah tiba. Masa tulah baru dia ceritakan sakitnya. Dia meninggal subuh hari Jumaat mak... tiga hari lepas.

Dia pergi dalam keadaan tenang mak," cerita Muaz. Mak Pah mengenggam erat tangan suaminya, terkenangkan bagaimana Intan memeluk erat mereka sebelum melepaskan pemergian mereka. Dan ketika itu bagai terdengar-dengar suara Intan berpesan, ' Intan tak nak mak dan abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Intan mahu, mak dan abah doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat.."
***** Bertakwalah kepada Allah dan Berbaktilah kepada kedua ibu bapa selagi hayat di kandung badan.....

Tuesday, October 27, 2009

Renungan Untuk Wanita

CANTIK PADA WANITA

PUTIH yang CANTIK pada wanita itu ada 4 jenis,,, putih warna kulitnya,,, putih warna kulit belahan rambut kepalanya,,, putih warna giginya,,, putih warna matanya

HITAM yang CANTIK pada wanita itu ada 4 jenis,,, hitam bulu matanya,,, hitam alisnya,,, hitam matanya,,, hitam rambutnya

MERAH yang CANTIK pada wanita itu ada 4 jenis,,, merah lidahnya,,, merah pipinya,,, merah bibirnya,,, merah warna kulitnya yang putih kemerah-merahan

KECIL dan CANTIK pada wanita itu ada 4 jenis,,, kecil hidungnya (mancung),,, lentik jari jemarinya,,, ramping pinggangnya,,, nipis alisnya

PANJANG dan CANTIK pada wanita itu ada 4 jenis,,, kedua tangan dan kedua kaki yang panjang,,, badan tubuh yang tinggi,,, rambut panjang,,, leher panjang

PENDEK dan CANTIK pada wanita itu ada 4 jenis,,, tangannya tidak panjang (tidak terlalu boros),,, kakinya tidak panjang (tidak suka berjalan),,, lisannya pendek (tidak liar),,, Dengan kata lain, dia tidak terlalu boros dengan harta suaminya, tidak pernah keluar dari rumahnya, tidak banyak bicara, dan matanya tidak meliar

Wednesday, October 21, 2009

Selamat Menempuh Peperiksaan Akhir

Kemahiran Untuk Pelajar
Ramai pelajar mengeluh kerana terlalu banyak masa yang dihabiskan untuk mengulang kaji tetapi pulangannya tidak seberapa. Sebaliknya terdapat segolongan kecil pelajar, belajar dalam keadaan yang lebih selesa, tidak terkocoh tetapi dapat pula meluangkan masa untuk beriadah dan turut melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum. Walaupun begitu, mutu dan pencapaian akademik mereka tidak terjejas.
Persoalannya, mengapakah dua keadaan di atas boleh terjadi? Biasanya, jawapan yang diberikan ialah pelajar dalam kumpulan kedua didakwa mempunyai keupayaan mengingat yang lebih jika dibandingkan dengan para pelajar daripada kumpulan pertama. Hipotesis ini mungkin betul, tetapi yang lebih tepat ialah ramai pelajar tidak mempunyai teknik belajar yang berkesan. Mereka belajar hanya mengikut rasa dan resa sahaja. Akibatnya, masa dan tenaga banyak terbuang, tetapi hasilnya tidak seperti mana yang disarankan oleh Gwen Gawith di dalam bukunya Power Learning.
Pelajar dan Pemelajaran
Setiap pelajar mestilah mengetahui akan tujuan dia belajar. Adakah dia belajar untuk mendapatkan ilmu dan kecemerlangan atau belajar kerana mengikut rakan-rakan sahaja dan dipaksa oleh ibu bapa ? Oleh itu, para pelajar mestilah menanamkan tekad bahawa tujuannya belajar adalah untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan mencapai kecemerlangan dalam semua bidang sama ada yang berkaitan dengan rohani atau jasmani. Setelah yakin bahawa anda ingin belajar, maka ketahuilah pula apakah tugas dan tanggungjawab anda sebagai seorang pelajar.
Pengurusan Diri
Sebagai seorang pelajar, anda mestilah boleh menyesuaikan diri dengan alam persekolahan dan persekitaran pemelajaran yang stabil. Jadikanlah sekolah tempat yang menyeronokkan untuk menimba ilmu pengetahuan. Di simpang itu, pandai-pandailah membawa diri bersama rakan dan taulan serta tidaklah pula menjadikan guru sebagai musuh. Ingatlah, guru adalah ibu bapa kedua kita. Tiada guru yang ingin merosakkan pelajarnya. Apa yang penting. Pelajar mestilah pandai membawa diri dengan sifatnya sebagai seorang pelajar.

Mengurus Masa
Untuk menjadi pelajar yang berjaya, anda mesti berupaya menjadualkan masa untuk belajar, beriadah, bergiat dalam kegiatan kokurikulum, menonton televisyen dan sebagainya. Di samping itu, pelajar mestilah berkebolehan mengingati sesuatu dalam jangka masa yang lebih panjang.
Perancangan
Kemahiran merancang semua aspek hidup amat penting, misalnya pelajar mestilah tahu apa yang telah dan akan dilakukan. Oleh itu, pelajar mestilah mempunyai arah dan tujuan yang positif. Janganlah hendaknya hidup hanya mengikut arus sahaja.
Kemahiran Berfikir
Untuk menjadi pelajar yang berjaya, pelajar mesti keupayaan berfikir secara kritis dan positif. Kemahiran berfikir ini harus dipelajari dan dipraktikkan. Di samping itu, pelajar juga mestilah berfikiran matang dan tidak hanya mengikut logik semata-mata.
Kemahiran Belajar
Belajar bukanlah sesuatu yang mudah tetapi bukanlah sesuatu yang sukar. Untuk menjadikan belajar itu mudah, para pelajar mestilah menguasai kemahiran belajar yang sistematik.
Kemahiran Membaca
Boleh dikatakan semua pelajar boleh membaca tetapi tidak ramai yang boleh membaca dengan pantas, dan dalam masa yang sama dapat memahami dan mengingati apa yang dibaca. Oleh itu, para pelajar mestilah menguasai kemahiran membaca dengan sebaik mungkin.
Kemahiran Menyelidik
Kemahiran merancang semua aspek hidup amat penting, misalnya pelajar mestilah tahu apa yang telah dan akan dilakukan. Oleh itu, pelajar mestilah mempunyai arah dan tujuan yang positif. Janganlah hendaknya hidup hanya mengikut arus sahaja.

Kemahiran Berfikir
Bagi memahami dan mendalami ilmu pengetahuan, setiap pelajar mesti mahir merujuk dan menyelidik sama ada daripada buku buku, akhbar, majalah, membuat temu ramah, dan sebagainya.
Kemahiran Membuat Nota
Terdapat pelbagai cara dan kaedah membuat nota, tetapi yang penting, nota yang anda buat mestilah memudahkan anda memahaminya. Jika kita hanya membaca atau menyelidik tanpa mencatatnya di dalam buku nota, kesannya tidak akan sampai ke mana dan tidak bertahan lama.
Kemahiran Menyampaikan
Setelah anda membaca, berfikir, belajar dan membuat nota, seharusnya anda mahir pula menyampaikan kembali apa yang anda fahami dengan berkesan sama ada dalam bentuk tulisan mahupun lisan.
Teknik Peperiksaan
Setiap pelajar akan dinilai melalui peperiksaan. Oleh itu, pelajar mesti berkebolehan menguasai teknik-teknik peperiksaan seperti keupayaan menganalisis soalan, mengetahui takrif soalan dan menjawab soalan.
Kemahiran Menilai
Pelajar mesti berupaya menilai kelemahan dan kekuatan diri sendiri di samping sentiasa berusaha memperbaiki segala kelemahan diri. Jangan sesekali menyalahkan orang lain jika kita gagal. Adalah lebih baik kita menyalahkan diri sendiri dan melihat kelemahan-kelemahan diri dan seterusnya bertekad untuk berjaya.
Kesimpulannnya, jika para pelajar dapat menguasai kesemua kemahiran di atas dengan berkesan dan bersistematik, sudah pasti kejayaan memihak kepada anda. Walau bagaimanapun, dalam keadaan apa sekalipun, kita mestilah sentiasa bersyukur dan bertakwa agar Allah S.W.T akan memberkati segala usaha kita.

Saturday, October 10, 2009

Wanita dari Sudut Politik

Dalam masyarakat tradisional, peranan kaum wanita adalah terhad kepada peranan pembantu kepada kaum lelaki. Ini dapat dilihat daripada jenis-jenis tugas yang mereka lakukan, umpamanya peranan mereka dalam pekerjaan sawah adalah untuk membantu suami mereka seperti menyemai, mengubah dan menuai. Dalam membangunkan keluarga masing-masing, wanita zaman tradisional menjalankan tugas seperti mencucuk atap, membela ayam itik dan lain-lain sebagai membantu peranan lelaki yang lebih besar dalam kehidupan keluarga dan masyarakat keseluruhannya.Dalam bidang ekonomi, adalah bidang yang sudah diterokai oleh kaum wanita dan di mana kaum lelaki agak bersikap liberal dalam membuka pintu kepada kemasukan dan penyertaan wanita. Pada masa dahulu peranan dan fungsi kaum wanita dalam bidang ini amat terbatas. Jumlah wanita yang bekerja dalam perkhidmatan kerajaan mahupun swasta semakin bertambah dan begitu juga pembahagian pendapatan. Walaupun jumlah pekerja-pekerja wanita ramai, hampir keseluruhannya termasuk pada peringkat pekerja-pekerja kurang mahir mendapat jumlah gaji yang kecil sahaja. Perubahan pada peranan ekonomi mempunyai kesan yang amat besar dan meluas terhadap kaum wanita yang terlibat dari segi peranan dan fungsi sosial
Menerusi cetusan ideal Wawasan 2020, ternyata hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju begitu tinggi sekali. Berbagai perubahan telah, sedang dan akan dilakukan untuk mencapai matlamat tersebut. Ini termasuklah di dalam bidang politik negara supaya sistem perundangan dan pentadbiran negara dapat berjalan dengan lancar tanpa wujud sebarang pertelingkahan serta bangkangan yang boleh membantutkan pembangunan negara. Oleh yang demikian penglibatan semua pihak adalah amat diambil berat untuk menguruskan pembangunan negara. Dan ini tidak terkecuali penglibatan kaum wanita dalam pembangunan negara. Di Malaysia khususnya apabila kaum wanita terutama kaum muslimah melibatkan diri di dalam bidang politik untuk sama-sama membangunkan negara maka akan terdengar pelbagai pandangan akan penglibatan mereka. Jika diteliti akan peranan yang boleh diberikan oleh wanita dalam membangunkan negara khususnya dari segi politik antaranya ialah wanita itu boleh menjadi penasihat kepada suami mereka. Ini dapat kita lihat jika seseorang wanita itu bersuamikan orang politik maka ianya boleh melibatkan dirinya secara tidak langsung dengan memberi nasihat dari segi keputusan yang telah dibuat atau dilaksanakan oleh suaminya yang mungkin tidak bersesuaian dengan kaum wanita yang mungkin tidak sesuai dengan pembangunan.
Sebagai contoh mungkin di setengah-setengah negeri tidak membenarkan kaum wanita melibatkan diri mereka secara aktif dalam bidang perniagaan yang bertentangan dengan ajaran agama dan adat sopan. Sebagai isteri mereka boleh memberi pandangan bahawa peraturan yang dilaksanakan itu mungkin tidak bersesuaian dengan kehendak pembangunan masa kini yang mahukan kaum wanita sama-sama melibatkan diri dalam arus pembangunan negara. Ini adalah dikhuatiri wanita yang menceburi bidang politik tidak dapat mengawal batas-batas agama seperti pergaulan bebas dengan lelaki yang boleh membawa kepada kerosakan akhlak dalam masyarakat yang seterusnya akan membantutkan pembangunan negara. Wanita boleh melibatkan diri untuk membangunkan negara secara aktif melalui pelbagai pertubuhan NGO seperti PERTIWI dan HAWA. Melalui pertubuhan-pertubuhan inilah mereka boleh menyalurkan pelbagai ideal dan cadangan dalam usaha untuk membangunkan negara sama ada dari segi pendidikan, keagamaan, sosial, budaya dan ekonomi. Melalui NGO juga mereka boleh membantu membangunkan negara dengan memastikan kesejahteraan dan keharmonian masyarakat terutamanya mengemaskinikan undang-undang dan akta-akta yang boleh mengawal kemakmuran.
Selain itu wanita juga boleh memainkan peranan membangunkan negara melalui ideal-ideal yang dikemukakan menerusi bidang penulisan. Ini adalah merupakan jalan yang terbaik bagi wanita kaum muslimah yang terkongkong oleh peraturan serta hukum yang tidak membenarkan mereka bergaul secara bebas dengan golongan bukan muhrim mereka serta perlu menjaga dan mengawal aurat mereka daripada dicerobohi. Oleh itu menerusi penulisan dengan mengemukakan pandangan dan pendapat diharapkan ianya akan dapat membantu dalam mentadbir negara. Menerusi penulisan juga mereka berpeluang mengemukakan pandangan serta komen ke atas pembangunan yang sedang dilaksanakan dan telah dilaksanakan samada bersesuaian dengan peredaran zaman dan kehendak negara. Namun begitu jika dikaji dan diteliti akan penglibatan atau peranan yang kaum wanita khususnya kaum muslimah di negara ini untuk membangunkan negara adalah amat kecil dan terhad sekali sumbangan mereka malah tidak kedengaran langsung dari wanita di dalam dewan Undangan Negeri dan Parlimen. Ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor yang menyebabkan mereka tidak dapat menyumbangkan tenaga dan ideal untuk sama-sama membangunkan negara.
Di antara faktor-faktor yang berkaitan yang membataskan sumbangan kaum wanita dalam pembangunan negara ialah mereka terlalu terikat dengan tradisi dan budaya masyarakat timur yang menjadi identiti masyarakat di negara ini. Ini adalah kerana wanita timur terkenal dengan sifat sopan santun dan berbudi pekerti baik dan mulia serta lemah lembut. Jika kaum wanita itu melibatkan dirinya di dalam bidang politik untuk membangunkan negara maka sudah tentu sifat yang menjadi kebanggaan dan kemegahan masyarakat timur sudah tentu akan hakis dan tercemar apabila mereka keluar untuk berkempen dan mempromosikan negara untuk pembangunan maka sudah tentu ianya memerlukan mereka bertindak di luar batas sifat wanita timur. Demikian juga dengan faktor perkahwinan ianya merupakan salah satu daripada faktor yang membataskan dan menghalang kaum wanita dari memberi penuh perhatian dan tumpuan dalam usaha untuk membangunkan negara . Ini adalah kerana apabila seseorang wanita itu menjadi pemimpin maka sudah tentu ianya terpaksa membahagikan masanya di antara keluarga dan kerjayanya serta ianya juga perlu mendapat keizinan dari suaminya terlebih dahulu sebelum melangkah keluar rumah.
Adalah tidak bermakna pembangunan yang dikecapi jika keluarga dan kehidupan anak-anaknya kucar-kacir dan tidak terurus dengan baik dan kemas. Sesuai dengan kejadian wanita itu sendiri yang berlainan dari kaum lelaki maka sudah tentu mereka sukar untuk memberikan sumbangan dan peranan yang baik dalam membangunkan negara kerana wanita itu sendiri mengalami beberapa gangguan tabii mereka seperti peredaran haid, mengandung dan sifat emosi mereka yang sukar dijangkakan dan mereka bertindak mengikut perasaan dan nafsu tanpa dapat membuat pertimbangan yang baik dan sempurna. Dan sekiranya wanita menjadi pemimpin maka sudah tentulah ianya akan mendatangkan kesan yang kurang baik kepada pengurusan dan pembangunan negara. Salah satu ayat yang seringkali dikemukakan oleh para pemikir Islam dalam kaitan dengan hak-hak politik kaum perempuan adalah yang tertera dalam surah Al-Tawbah ayat 71:
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebagian mereka adalah awliya' bagi sebagian yang lain. Mereka menyuruh untuk mengerjakan yang ma'ruf, mencegah yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Mahaperkasa lagi Mahabijaksana.

Sunday, October 4, 2009

Jom kita sama2 doakan adik Wan Aini

Kepada sahabat sekalian, marilah kita sama-sama menunaikan solat hajat dan bacaan surah yasin kepada adik kita Wan Aini, mahasiswi Program Pengajian Malaysia dengan Pendidikan AT 58 semester 1 yang sedang bertarung nyawa, bertarung dengan maut di unit rawatan rapi, ICU Hospital Slim River. Semoga adik Wan Aini terus tabah dan kuat melawan musibah yang menimpa dirinya.. Kepada rakan-rakan dan adik-adik di Kolej Kediaman Za'Ba, jaga keselamatan diri anda, amalkan kebersihan untuk pastikan kesejahteraan hidup kita bersama..


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini