Monday, January 11, 2010

Salam Takziah.......

Cikgu Faizol



Cikgu Fadihiri

Salam takziah diucapkan kepada ahli keluarga Allahyarham Ahmad Faizol Bin Abdul Shukor, mahasiswa jurusan Pendidikan Khas dan Allahyarham Mohd Fadihiri Bin Mohd Ariffin, mahasiswa jurusan Matematik yang telah pulang ke Rahmatullah akibat kemalangan jalan raya pada awal pagi tadi, semoga roh mereka ditempatkan bersama roh para solihin, mujahidin.. AL-FATIHAH kepada Allahyarham... Kedua-dua mereka berasal dari Pasir Mas dan Tanah Merah, Kelantan..

Friday, January 8, 2010

NGO Islam desak polis siasat Herald


Sebuah persatuan pelajar Islam hari ini membuat laporan polis mendesak siasatan dibuat terhadap penerbit mingguan Herald berhubung motifnya menggunakan perkataan Allah dalam akhbar Katholik itu.


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) membuat aduan itu di balai polis Jalan Dang Wangi selepas ia bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berdemonstrasi berhubung isu 'Allah' itu di Kampung Baru, selepas solat Jumaat.

Naib Presiden PKPIM Abu Kasim Nur Azmi, ketika dihubungi Malaysiakini, mendakwa terdapat unsur niat jahat (mala fide) dalam penggunaan kalimah tersebut di penerbitan tersebut.

Herald mencabar larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di mahkamah awal tahun lalu. Pada 31 Disember lalu, mahkamah memutuskan media itu berhak menggunakan 'Allah' tetapi keputusan itu mencetuskan kontroversi luar biasa sepanjang minggu ini.

Dalam aduannya, Abu Kasim berkata kebebasan beragama dalam perlembagaan Malaysia juga menyebut bahawa ia mesti dijalankan dalam keadaan aman dan harmoni seperti termaktub pada Perkara 11 (4) yang menyentuh mengenai kebebasan beragama dan Perkara 3, Islam sebagai agama persekutuan.

Bersama setiausaha agung Abim, Muhamad Raimi Abdul Rahim, aduan polis tersebut dibuat kira-kira jam 3.30 petang.


Sebelum itu, lebih kurang 2 petang sekumpulan 50 penyokong dan pemimpin NGO Islam berkumpul kira-kira 20 minit di masjid Kampung Baru untuk membantah penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan itu.

Selain PKPIM dan Abim, NGO lain yang menyokong tujuh tuntutan 'Deklarasi Keharmonian Hubungan Antara Agama' termasuklah Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Ikatan Muslimin Siswazah (ISMA) dan Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim).

Dalam perhimpunan tersebut, Muhamad Raimi membaca deklarasi tersebut, yang disokong oleh 50 NGO Islam, antara mendesak berharap isu 'Allah' “diselesaikan di luar mahkamah.”


Kes antara Herald dengan KDN kini menunggu proses rayuan selepas mahkamah menangguhkan keputusan awalnya.

Kumpulan NGO itu juga turut mendesak "penganut agama lain tidak mempertikaikan kemuliaan dan keagungan Allah baik dari sudut nama dan sifatnya, kemulilaan Rasulullah dan risalah yang dibawanya".

"Penganut agama lain menghormati segala syiar Islam yang meliputi perlakuan dan ibadah, tempat-tempat suci, pakaian dam juga perlambangan," dokumen itu dipetik.

Dalam ucapannya di situ, Muhamad Raimi berkata pihaknya membuat bantahan tersebut bukan untuk mencabar keputusan mahkamah, sebaliknya “untuk menzahirkan hasrat, sentimen dan kegusaran umat Islam.”


Perhimpunan yang berlangsung dalam perkarangan masjid dikawal kira-kira 20 anggota polis dan diperhatikan kira-kira 100 orang yang selesai menunai solat Jumaat.

Peserta demonstrasi melaungkan slogan "Agama kamu, agama kamu; Agama kami, agama kami", "Hidup Islam" dan “Kami Sayang Kalimah Allah" beberapa kali diselangi dengan laungan takbir.

Mereka juga menayangkan beberapa sepanduk, antaranya, bertulisan "Jangan cabar Islam", dan "Jangan cabar toleransi Islam".

(WWW.MALAYSIAKINI.COM.MY)

Monday, January 4, 2010

KENYATAAN MEDIA Y.B DR. HAJI MOHD PUAD BIN HAJI ZARKASHI TIMBALAN MENTERI PELAJARAN MALAYSIA



Saya selaku Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia bertanggungjawab untuk menjelaskan isu yang dibangkitkan oleh Naib Canselor Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dato’ Dr. Aminah Ayob dalam kiriman e-mel yang telah disiarkan oleh Buletin Utama pada 1 Januari 2010 jam 8.00 malam mengenai pengambilan guru-guru lulusan Sarjana Muda Pendidikan daripada IPTA termasuk daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

1. Ada sedikit kekeliruan pada kenyataan Naib Canselor tersebut mengenai isu lebihan guru. Beliau menggunakan data pengambilan pelajar barudi UPSI untuk semester 1 bulan Julai 2009 untuk menyatakan pengambilan pelajar tersebut mengikut unjuran yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Sebenarnya isu yang saya bangkitkan ialah masalah mereka yang telah tamat pengajian di seluruh negara yang masih lagi belum mendapat penempatan. Ini kerana berlaku lebihan pengambilan pelajar oleh IPTA pada tahun-tahun sebelumnya.

2. Beliau turut mempertikaikan jumlah yang diunjurkan oleh KPM adalah terlalu kecil dan tidak munasabah. Saya ingin menjelaskan bukan UPSI sahaja yang menawarkan program Sarjana Muda Pendidikan malah IPTA lain juga turut menawarkan kursus yang sama termasuk mereka yang mengambil Sarjana Muda Pendidikan di universiti swasta dan luar negara. Ini menyebabkan berlakunya lebihan penawaran apabila ianya tidak diselaraskan dengan baik.

3. Ada IPTA mendakwa, unjuran tersebut tidak ekonomikal untuk dilaksanakan sebab itu mereka menawarkan juga kepada pelajar-pelajar lain yang memohon untuk mengikuti program Sarjana Muda Pendidikan. Alasan IPTA tersebut ialah supaya mereka yang tidak mendapat tempat ini boleh bersaing di pasaran terbuka. Kesemua faktor ini menjadi penyumbang kepada isu lebihan penawaran guru untuk sekolah menengah.

4. Suka saya menegaskan memang benar Kabinet telah memutuskan latihan guru untuk sekolah rendah dikendalikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Manakala IPTA termasuk UPSI melatih bakal guru untuk sekolah menengah. Namun Prof. Dato’ Dr Aminah Ayob, perlu telus dan mengakui terdapat juga IPTA termasuk UPSI sendiri yang menyediakan program Sarjana Muda Pendidikan untuk sekolah rendah dan pra-sekolah. Walau bagaimanapun KPM tetap menerima graduan tersebut untuk ditempatkan di sekolah rendah dan pra sekolah selagi terdapat kekosongan.

5. Untuk rekod, sebenarnya mereka yang diambil menjadi pelajar tajaan KPM baik dari IPTA mahupun IPGM semuanya mendapat penempatan untuk mengajar kerana mereka telah ditemu duga melalui proses Inventori Sahsiah Keguruan (INSAK) yang dikendalikan oleh guru-guru cemerlang dari KPM. Hanya mereka yang tidak melepasi proses ini sahaja yang perlu bersaing di pasaran terbuka.

6. Oleh itu tidak timbul soal para graduan pendidikan dari IPTA dianak tirikan dan merasa tidak bermotivasi. Mereka perlu bersedia untuk bersaing di pasaran terbuka dan di sektor swasta. Malah mereka perlu sedar bahawa menjadi guru memerlukan kecekalan kerana mereka mungkin akan dihantar ke kawasan pedalaman untuk mengajar. Jika kerana isu ini mereka telah menjadi lemah semangat bagaimanakah mereka mahu menghadapi cabaran di alam pekerjaan sebagai guru kelak.

Sunday, January 3, 2010

Apa nak jadi??

Sekali lagi kita dikejutkan dengan keputusan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitannya. Kerajaan perlu sedar dan prihatin dengan pelbagai reaksi, termasuk pemimpin Islam parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung keputusan itu. Oleh kerana isu ini amat sensitif dan menyentuh perasaan, terutama umat Islam, maka kita hendaklah mengambil sikap bertenang dan membiarkan perkara ini diselesaikan melalui proses mahkamah, tetapi kita tidak boleh berdiam diri sekiranya isu Islam boleh dijadikan agenda pihak-pihak kafir. Keputusan dibuat oleh Mahkamah Tinggi dan masih ada Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan untuk membuat rayuan. Semalam, media melaporkan pemimpin Islam parti politik dan NGO Islam bimbang implikasi keputusan itu dan mahu kerajaan menyegerakan proses rayuan. Mereka berpendapat keputusan itu melanggar Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi dan mahu ia diperhalusi supaya sensitiviti agama dan kaum diambil kira. Isu ini akan mengundang pelbagai demonstrasi, petisyen dan memorandum.

ABIM telah memainkan peranannya dengan NGO berkenaan dengan mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu memfailkan rayuan secepat mungkin bagi melenyapkan keresahan Islam. Semua pihak perlu menghormati institusi Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengeluarkan fatwa bagi melindungi kedaulatan dan kesucian Islam dan semua pihak MENGHORMATI KEPUTUSAN MAJLIS FATWA KEBANGSAAN BAHAWA KALIMAH 'ALLAH' ADALAH EKSKLUSIF BAGI AGAMA ISLAM SAJA.