Tuesday, December 29, 2009

Rabiah Al Adawiyah: Perindu Kecintaan Allah

Rabiah binti Ismail al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah berhampiran kota Basrah di Iraq. Dia lahir dalam sebuah keluarga yang miskin dari segi kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada Allah. Ayahnya pula hanya bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai Dijlah dengan menggunakan sampan.
Pada akhir kurun pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat Islam dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang sebelumnya terkenal dengan ketaqwaan telah mulai berubah. Pergaulan semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari kekayaan. Justeru itu kejahatan dan maksiat tersebar luas. Pekerjaan menyanyi, menari dan berhibur semakin diagung-agungkan. Maka ketajaman iman mulai tumpul dan zaman hidup wara serta zuhud hampir lenyap sama sekali.
Namun begitu, Allah telah memelihara sebilangan kaum Muslimin agar tidak terjerumus ke dalam fitnah tersebut. Pada masa itulah muncul satu gerakan baru yang dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin oleh Hasan al-Bashri. Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka menghabiskan masa dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi segala tuntutan hawa nafu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba yang benar-benar taat.
Bapa Rabiah merupakan hamba yang sangat bertaqwa, tersingkir daripada kemewahan dunia dan tidak pernah letih bersyukur kepada Allah. Dia mendidik anak perempuannya menjadi muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya bersumberkan al-Quran semata-mata. Natijahnya Rabiah sendiri begitu gemar membaca dan menghayati isi al-Quran sehigga berjaya menghafal kandungan al-Quran. Sejak kecil lagi Rabiah sememangnya berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi serta keimanan yang mendalam.
Menjelang kedewasaannya, kehidupannya menjadi serba sempit. Keadaan itu semakin buruk setelah beliau ditinggalkan ayah dan ibunya. Rabiah juga tidak terkecuali daripada ujian yang bertujuan membuktikan keteguhan iman. Ada riwayat yang mengatakan beliau telah terjebak dalam kancah maksiat. Namun dengan limpah hidayah Allah, dengan asas keimanan yang belum padam di hatinya, dia dipermudahkan oleh Allah untuk kembali bertaubat. Babak-babak taubat inilah yang mungkin dapat menyedar serta mendorong hati kita merasai cara yang sepatutnya seorang hamba brgantung harap kepada belas ihsan Tuhannya.
Marilah kita teliti ucapan Rabiah sewaktu kesunyian di ketenangan malam ketika bermunajat kepada Allah:
Ya Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau!
Tuhanku! bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan-Mu.
Tuhanku! Tiada kudengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser, tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai-Mu.
Sekelian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan asyik maksyuknya. Yang tinggal hanya Rabiah yang banyak kesalahan di hadapan-Mu. Maka moga-moga Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat kepada-Mu.
Rabiah juga pernah meraung memohon belas ihsan Allah SWT:
Tuhanku! Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang terang, falak yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa.
Setiap malam begitulah keadaan Rabiah. Apabila fajar menyinsing, Rabiah terus juga bermunajat dengan ungkapan seperti:
Wahai Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai malangnya diri! Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah? Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu.
Seperkara menarik tentang diri Rabiah ialah dia menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan:
Perkahwinan itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun.
Rabiah seolah-olah tidak mengenali yang lain daripada Allah. Oleh itu dia terus-menerus mencintai Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan lain kecuali untuk mencapai keredaan Allah. Rabiah telah mempertalikan akalnya, pemikirannya dan perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata. Dia sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya dan sentiasa membelek-beleknya setiap hari.
Selama 30 tahun dia terus-menerus mengulangi kata-kata ini dalam sembahyangnya:
Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu.
Antara syairnya yang masyhur berbunyi:
Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun,
Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.
Rabiah telah membentuk satu cara yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia menjadikan kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwa. Dia memulakan fahaman sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah diluahkannya:
Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?
Kecintaan Rabiah kepada Allah berjaya melewati pengharapan untuk beroleh syurga Allah semata-mata.
Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.
Begitulah keadaan kehidupan Rabiah yang ditakdirkan Allah untuk diuji dengan keimanan serta kecintaan kepada-Nya. Rabiah meninggal dunia pada 135 Hijrah iaitu ketika usianya menjangkau 80 tahun. Moga-moga Allah meredainya, amin!
Sekarang mari kita tinjau diri sendiri pula. Adakah kita menyedari satu hakikat yang disebut oleh Allah di dalam Surah Ali Imran, ayat 142 yang bermaksud:
Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang yang sabar.
Bagaimana perasaan kita apabila insan yang kita kasihi menyinggung perasaan kita? Adakah kita terus berkecil hati dan meletakkan kesalahan kepada insan berkenaan? Tidak terlintaskah untuk merasakan di dalam hati seumpama ini:
Ya Allah! Ampunilah aku. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi dan hanya hidup di sisi-Mu sahaja yang berkekalan. Selamatkanlah aku daripada tipu daya yang mengasyikkan.
Sesungguhnya apa juga lintasan hati dan luahan rasa yang tercetus daripada kita bergantung kepada cara hati kita berhubung dengan Allah. Semakin kita kenali keluhuran cinta kepada Allah, maka bertambah erat pergantungan hati kita kepada Allah serta melahirkan keyakinan cinta dan kasih yang sentiasa subur.
Lanjutan itu jiwa kita tidak mudah berasa kecewa dengan gelagat sesama insan yang pelbagai ragam. Keadaan begini sebenarnya terlebih dahulu perlu dipupuk dengan melihat serta merenungi alam yang terbentang luas ini sebagai anugerah besar daripada Allah untuk maslahat kehidupan manusia. Kemudian cubalah hitung betapa banyaknya nikmat Allah kepada kita.
Dengan itu kita akan sedar bahawa kita sebenarnya hanya bergantung kepada Allah. Bermula dari sini kita akan mampu membina perasaan cinta terhadap Allah yang kemudian mesti diperkukuhkan dengan mencintai titah perintah Allah. Mudah-mudahan nanti kita juga akan menjadi perindu cinta Allah yang kekal abadi.

Hayati dan Fikir-fikirkan!!!!!.........

Ada beberapa sudut pandang jika kita ingin meneliti kisah Mahsuri. Sosok Mahsuri memang wujud. Keturunannya masih ada. Yang dipertikai orang adalah, beberapa kisah aneh mengenainya, iaitu saat-saat menjelang kelahirannya dan kematiannya. Apakah benar, beliau berdarah putih? Apakah benar, Makndak mengandungkan Mahsuri setelah makan kerak nasi yang sebenarnya maya padi? Apakah benar, 7 hari selepas makan kerak nasi, seekor ular cinta mani (sejenis ular sakti, berkepala itik) berlegar-legar sekeliling rumah dan ular itu tidur di bawah rumah? Apakah benar, Mahsuri cuma mati jikalau ditikam dengan sebilah keris khas yang dibalut dengan kain kuning? Inilah yang dipersembahkan dalam teater bangsawan Mahsuri yang dipentaskan di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur bermula 9 - 11 Oktober lalu. Kisah Mahsuri, isunya bukan darah putih, ular cinta mani atau keris keramat. Hal itu, tak diketahui tentang letak duduk kebenarannya. Ia boleh disebutkan sebagai dongeng. Hal dongeng jika didebatkan, tidak pergi ke mana-mana. Hal yang tidak bersifat dongeng itulah yang terlebih baik untuk kita bahaskan bersama. Dalam kisah Mahsuri, ada hal yang nyata, tidak bersifat khayalan. Hal yang nyata dan tak boleh ditolak itu adalah sifat dengki, iri hati, rasa cemburu, dendam serta sakit hati yang akhirnya membawa kepada kematian Mahsuri. Kematian Mahsuri lambang kezaliman pemerintah. Watak-watak Mahura, Deraman dan lain-lain watak yang berkonspirasi untuk membunuh Mahsuri masih wujud sehingga ke hari ini, tetapi ia dilakonkan watak yang lain pula. Mereka berkomplot dan oleh kerana komplot ini berlaku dalam kalangan pembesar, maka Mahsuri tidak mendapat sebarang pembelaan.
Keadaan mungkin berbeza jika kes Mahsuri melibatkan pertikaian orang-orang bawahan, dan pihak penguasa tidak terlibat dalam pertikaian tersebut. Oleh kerana kes purba ini berprofil tinggi, maka kepada siapa lagi keluarga Mahsuri ingin mengadu segala permasalahan ketika penguasa yang diharap dapat memberikan keadilan, telah berbuat kezaliman, tidak menghukum manusia secara adil dan tidak membicarakan dakwaan ke atas Mahsuri dengan telus. Kita pun tertanya-tanya, apakah wujud golongan ulamak, pendeta dan manusia bijaksana yang menegur perbuatan kejam dan zalim itu? Mahsuri dibunuh ketika suaminya berperang demi mempertahan negeri Kedah daripada serangan Thai. Ini bermaksud, memang ada perancangan yang tersusun dan mereka yang berniat jahat itu memang menunggu waktu yang sesuai untuk membunuh Mahsuri. Jika suami Mahsuri masih ada di sisi, maka tuduhan tohmahan terhadap Mahsuri tentulah terbatal. Ini kerana, tuduhan itu ialah Mahsuri berlaku serong dengan lelaki lain, wanita itu menduakan suaminya ketika suaminya pergi berperang.
Bentuk hukuman ke atas Mahsuri secara tergesa-gesa ini menunjukkan bahawa penguasa pulau lagenda itu telah mengambil keputusan untuk segera membunuh Mahsuri sebelum suami Mahsuri, Wan Derus kembali ke Langkawi. Kalau benar Mahsuri berlaku curang dengan lelaki lain, maka hukumannya bukan bunuh, tetapi ia mestilah disesuaikan dengan hukum syarak seperti direjam dengan batu.

Antara Altantuya dan Mahsuri, siapa lebih dizalimi?

Tidak boleh diukur kekejaman itu dengan keris yang menikam Mahsuri. Tidak boleh juga kita menyukat kezaliman dengan membandingkan bisanya keris dengan kuatnya ledakan bunyi dentuman bom C4 yang digunakan untuk meletupkan tubuh Altantuya. Akal logik tidak boleh membuat hukuman bahawa oleh sebab dentuman C4 itu lebih kuat hingga menghancurkan tubuh Altantuya, maka kes Altantuya dibunuh itu lebih zalim dan kejam berbanding pembunuhan Mahsuri, kerana tubuh Mansuri tidak hancur. Tidak betul cara berfikir begitu. Kita mesti ukur kezaliman serta menyukat kekejaman itu bersandarkan cara kes itu dikendalikan dan bukanlah disebabkan faktor keris dan bom C4 tersebut. Akal kita mesti lebih hadhari ketika membuat kesimpulan dalam kes ini. Altantuya tidak dihakimi, tidak dibicarakan. Maka adalah satu jenayah untuk membunuh beliau. Sebaliknya, kes Mahsuri itu telah dibicarakan dengan berat sebelah. Dia difitnah, dia diburuk-burukkan, diaibkan oleh sekian banyak tuduhan yang tidak berasas.

Barangkali, Altantuya lebih dizalimi kerana sosok yang jelita lagi menawan putera Bugis ini dilayani sebagai haiwan, boleh dibunuh sesuka hati tanpa perkiraan dosa, pahala. Mungkin ada orang yang mahu menyanggah pendapat ini. Hal itu, bolehlah kita debatkan kemudian jikalau ada pihak yang beranggapan bahawa Mahsuri dibunuh lebih kejam lagi berbanding kes Altantuya. Wallahu alam. Bagaimanapun, pendapat bahawa Mahsuri dibunuh lebih zalim berbanding Altantuya itu bukanlah bermaksud bahawa Najib Razak lebih baik berbanding Mahura dan pihak-pihak yang membunuh Mahsuri. Ini kerana, zalim tetaplah zalim.

Bukan ada neraca yang menetapkan bahawa berat kezaliman ke atas Altantuya itu seberat 1 kg, sementara kezaliman ke atas Mahsuri cuma seberat segantang cuma. Kejam tetaplah kejam. Keadaan mungkin berubah jika watak Mahura disamakan dengan Rosmah. Sentimen-sentimen seperti menyamakan Mahura dan Rosmah mungkin mengundang satu pendapat lain pula yang melihat kes pembunuhan Altantuya itu lebih kurang setara kejam dan zalimnya dengan kes pembunuhan Mahsuri. Wallahu alam.
Oleh kerana perbincangan seperti ini boleh menelan waktu yang panjang, maka ada lebih baik kita khatam dulu bicara di sini. Terima kasih kepada pelakon teater Mahmud Jelani yang maklumkan mengenai hal teater percuma baru-baru ini. Juga kepada Kumpulan Bangsawan Sri Kedah yang bergiat cergas mementaskan teater purba, bangsawan yang makin kurang dipentaskan sekarang. Semoga kita tidak lagi memandang kes Mahsuri dengan darah putihnya dan keris keramat yang digunakan untuk membunuhnya, tetapi ia dinilai sebagai satu peristiwa gelap dalam lipatan sejarah yang patut dielakkan pada masa depan.

Hendaknya, kisah purba sebagai pengajaran kepada masyarakat ini janganlah dikapankan dalam ingatan kita, sebaliknya sentiasa dibahas daripada sudut lain pula. Persembahan teater Mahsuri sebenarnya menarik. Semoga pemilihan dialognya itu lebih mencapah, menyentuh perihal ketidakadilan penguasa dalam menjatuhkan hukuman. Ini kerana, roh dan semangat asal kisah ini memperihalkan kezaliman penguasa. Mungkin, persembahan teater yang memberikan pengajaran ini perlu menggunakan suatu pendekatan seperti teater Menunggu Kata Dari Tuhan, karya Dinsman di mana akhir dari pementasan itu, penonton diajak berdialog, bertukar fikiran dan bertanyakan soalan.

Mahsuri wanita suci?

Di sana masih kedengaran pendapat yang menyatakan bahawa ada kemungkinan Mahsuri adalah wanita yang tidak menjaga kehormatannya. Pandangan demikian berangkat daripada persoalan, bagaimanakah Mahsuri boleh tinggal serumah dengan lelaki asing ketika ketiadaan suaminya?. Kalau pun Mahsuri itu tidak melakukan perbuatan terkutuk, bagaimana pula dengan sikap isteri orang yang dilihat berdua-duaan dengan lelaki asing sambil bermain bunyi-bunyian di luar rumahnya sehingga menjolok mata masyarakat setempat? Jawapan ke atas soalan seperti ini tetap ada. Seperti biasa, kita akan melakukan kesilapan. Tetapi, adakah hukuman ke atas kita itu setimpal?

Kenapa kita harus meneropong ke atas kesilapan Mahsuri saja tetapi seperti terlupa untuk membahaskan kekejaman penguasa dan hasutan Mahura? Sebesar-besar dosa Mahsuri sekali pun dan kalau darahnya tidak putih bagi menunjukkan bahawa dia wanita suci tetapi kita tak boleh menolak kebenaran bahawa dia telah melafaz sumpah bahawa Langkawi akan dilanda musibah 7 keturunan. Maka, lafaz sumpah itu adalah doa daripada seorang wanita yang telah dizalimi. Mungkin juga dia berdosa, tapi peruntukan Allah ke atas Mahsuri tetap ada. Iaitu peruntukan untuk berdoa agar dilimpahkan kecelakaan ke atas pihak-pihak yang telah menzaliminya.

Mungkin, azab yang menimpa Langkawi itu, bukan disebabkan oleh kedudukan Mahsuri sebagai wanita keramat seperti yang difahami orang. Lagi pun, bukankah doa orang yang dizalimi itu akan dimakbulkan Tuhan tanpa sebarang hijab? Mahsuri itu mungkin berdosa, tapi peruntukan Allah untuk membela orang yang dizalimi itu tidak diperhitungkan melalui dosa Mahsuri sebelum ini. Sabda rasul, takuti doa orang yang dizalimi, kerana doa antara mereka dengan Tuhan tiada hijab.

Tidak disebut kedudukan orang dizalimi di sini sama ada mereka sendiri pernah berdosa atau tidak. Bermaksud, jika seseorang itu berdosa kepada Tuhan, tetapi dalam masa yang sama, mereka dizalimi pemerintah, maka dosa mereka itu bukan hijab untuk Tuhan kabul doa mereka yang meminta dilimpahkan keburukan ke atas pemerintah yang zalim itu. Penduduk Kg Berembang mungkin juga berdosa. Tapi, ketika mereka dizalimi Khir Toyo yang menumbangkan surau, rumah mereka, Allah kabulkan doa, sumpah seranah mereka dengan menjatuhkan Khir Toyo dalam pilihan raya umum ke-12. Alhamdulillah!

Tuhan tak membuat perkiraan seperti ini oleh kerana mereka yang dizalimi itu pun ada dosa, maka Dia pun tidak akan mengabulkan doa mereka ke atas pihak yang menzalimi mereka itu. Tuhan tidak berat sebelah. Penzalim lebih awla mendapat hukumanNya. Apabila mempertimbang semua ini dengan teliti dan sehalus-halusnya. Hanya ada suatu hal sahaja yang menendang-nendang akal fikir kita. Pertanyaan demi pertanyaan, soalan demi soalan sedang berlari-lari, menari-nari dan melantun-lantun dalam kepala.

Jika Mahsuri bersumpah yang buruk-buruk ke atas Langkawi sebelum kematiannya, kita ingin bertanya soalan saja, apakah Altantuya pernah bersumpah bahawa Malaysia akan menjadi padang jarak padang tekukur sebelum tubuhnya diletupkan C4?

Monday, December 28, 2009

Mentera untuk Melayu Baru (Malaysia Boleh)

Di mana boleh cari ramai Melayu
Pastinya di Kelantan dan Trengganu
Dan juga di pasar malam dan pasar minggu
Di Akademi Fantasia dan Pesta Lagu
Di Jom Heboh orang Melayu berpusu-pusu
Di Sungai Buloh dan sebelum ini di Pudu
Dan di jalan, lumba haram tak buka lampu
Dan di selekoh duit rasuah depa sapu
Di pusat serenti akibat ketagih dadah dan candu
Di malam kemerdekaan dan malam tahun baru
Terkinja-kinja best giler menari macam hantu
Apa hobi orang Melayu
Terkenal dengan budaya malas dan lesu
Berlepak buang masa tak jemu-jemu
Atau baca majalah Mastika cerita hantu
Tengok telenovela dari Filipina dan Peru
Sambil makan junk food kacang dan muruku
Mana tak gendut berpenyakit selalu
Kalau nak berlagak melayu nombor satu
Asal bergaya sanggup makan nasi dan toyu
Boleh tak jumpa mereka di kedai buku
Atau di perpustakaan dan majlis ilmu
Atau ambil kelas kemahiran di hujung minggu
Ada tapi kurang sangat ke situ
Kenapa Melayu jadi begitu
Nak salahkan sapa ibubapa atau guru
Pemimpin negara atau raja dulu-dulu
Ayat lazim di mulut ialah malas selalu
Nak harap kerajaan saja bantu
Terutama sekali kontraktor kelas satu
Tak habis-habis gaduh nak jatuh sapa dulu
Dan suka sangat dengan budaya mengampu
Sampai bila kita nak tunggu
Bangsa Melayu jadi bangsa termaju
Boleh, dengan beberapa syarat tertentu
Pertama dengan banyak menguasai ilmu
Kata nabi ikutlah al Quran dan sunnah ku
AlQuran yang diturunkan 1400 tahun dulu
Tapi apakah yang kita tahu, cuma baca nak halau hantu